Wednesday, October 9, 2013

Memilih Insan Soleh Untuk Dijadikan Sahabat


عَنْ أَبِى بُرْدَةَ عَنْ أَبِى مُوسَى عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً».



Daripada Abu Burdah, daripada Abu Musa, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, berkata: “Sesungguhnya perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk itu adalah umpama pembawa kasturi (minyak wangi) dan peniup (tukang besi).

Adapun pembawa kasturi, samada dia memberikan kepada mu, atau engkau membeli daripadanya, atau engkau akan mendapati darinya haruman yang baik. Adapun peniup (tukang besi), sama ada dia akan (menyebabkan) baju mu terbakar atau engkau mendapati bau busuk” [Riwayat Muslim: no.6860]

Hadith ini memberikan beberapa pengajaran dan hikmah kepada kita. Antaranya:

1. Kelebihan bersahabat dengan orang-orang yang baik, dikalangan insan yang menjaga maruah, akhlak, adab, ilmu dan wara’. Necaya kebaikan mereka itu akan kita perolehi melalui kesan berdampingan.

2. Hadith ini menunjukkan adanya tegahan berdampingan dengan orang-orang yang jahat dan buruk akhlaknya. Dikalangan pelaku maksiat, ahli bid’ah, kaki umpat, pencela, dan pembuat kerosakan.

3. Insan dituntut untuk memilih rakan atau teman yang baik dan menjauhi golongan yang tidak baik. Ini kerena persahabatan dan perdampingan memberikan kesan dan pengaruh dalam diri seseorang untuk turut serta dengan gaya kelompok yang dia sertai.

4. Sesiapa yang menginginkan istiqomah dalam menempuh jalan hidup beragama maka hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh mencari teman dan rakan yang soleh.

5. Ini juga menunjukkan, orang-orang yang dahulunya beragama boleh menjadi insan toleh (lawan perkataan soleh) sekiranya dia tersalah memilih rakan karib atau kelompoknya. Begitu jugalah sebaliknya, insan yang dahulunya tidak hidup dalam beragama boleh menjadi insan soleh dikernakan kawan-kawannya.

P/s: Maka berhati-hatilah dalam memilih rakan dan taulan. Pesan ini saya tujukan khususnya buat muda-mudi yang menempuh alam kedewasaan. Iman kita tidak kekal senantiasa, insan soleh perlu dicari sebagai pendamping. Agar kita dapat hidup dengan budaya “Berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran...”

Semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah berdampingan dengan insan soleh...ameen!

No comments: