Dikala ini,
terlalu banyak sebaran terhadap makanan “Sunnah” ataupun makanan mempunyai
jenama “agama” padanya. Tidak kurang juga petua-petua kesihatan yang mendapat
label agama.
Ini merupakan
eksploitasi agama untuk tujuan dan kepentingan dunia. Semata-mata untuk
menambah laris jualan atau menarik orang ramai untuk mendengar , sedang agama
ini suci daripada perkara demikian.
Memang benar
agama ada berbicara mengenai makanan dan seumpamanya (urusan dunia), tetapi ia
tidak lebih daripada membicarakan prinsip umum untuk mengendalikannya. Sedikit
benar teks agama yang mengkhususkan khasiat makanan atau petua kesihatan
tertentu.
Beberapa contoh
disebutkan dalam nas yang mempunyai khasiat adalah seperti madu, habbah
al-sauda’, air zam-zam dan beberapa lagi. Manakala sebahagian besarnya adalah
merepek dan pendustaan dibuat atas nama agama.
[ Petua Mendapat
Anak Dan Menambah Zuriat ]
Saya nukilkan
contoh salah faham dan dakwaan tidak benar terhadap petua kesihatan yang
disandarkan kepada Nabi s.a.w. antaranya hadith ini:
عن
نافع عن ابن عمر قال: " جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فشكى إليه قلة
الولد فأمره أن يأكل البيض والبصل"
Daripada Nafi’,
daripada Ibn ‘Umar, Dia berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w
dan dia mengadu kepadanya mengenai zuriatnya yang sedikit. Maka (Nabi s.a.w)
memerintahkannya untuk memakan telur dan bawang”
Hadith ini sebenarnya
adalah palsu, Ibn Al-Jauzi menyebutkan: “…Dan khabar (riwayat) ini tidak syak
lagi bahawa sanya ia adalah palsu, tidak halal menyebutkan (riwayat) seperti
ini di dalam kitab” [الموضوعات لابن الجوزي: ج3 ص16]
Malah Ibn Al-Qayyim
dalam kitabnya الطب النبوي juga menukilkan riwayat
yang hampir sama sambil memberikan komentar, katanya :
ذكر
البيهقى فى "شُعَبِ الإيمان" أثراً مرفوعاً: أنَّ نبياً من الأنبياء شكى
إلى الله سبحانه الضعفَ، فأمره بأكل البيض. وفى ثبوته نظرٌ.
Al-Baihaqi
menyebutkan dalam (kitab) “Syuab Al-Iman” sebuah riwayat yang marfu’: «Bahawa sanya ada seorang nabi dikalangan
para nabi telah mengadu kepada Allah s.w.t mengenai (dirinya yang) lemah. Maka
(Allah s.w.t) memerintahkannya untuk memakan telur» dan pada kesahihannya ada pertikaian.
Saya yakin dan
percaya tips menambah zuriat dankekuatan ini berlegar di alam maya sedangkan
riwayat ini palsu dan batil. Lebih malang lagi sekiranya ia disandarkan terus kepada
Nabi s.a.w sebagai “rawatan Islam”, dan jika tidak berhasil apa-apa maka hadith
nabi s.a.w itu yang menjadi tohmahan dan dipertikai. Mereka mengambil secara
bulat-bulat riwayat seperti ini tanpa memeriksa terlebih dahulu statusnya
ataupun komentar ahli bidang (hadith).
Sikap kita
sebagai awam adalah dengan meneliti dahulu khabar-khabar seperti ini, paling
tidak dengan bertanya kepada ahli bidangnya. Apakah ia benar sahih atau palsu
batil?
Kita boleh
bersungguh meniliti urusan dunia kita untuk mengelak rugi dan sebagainya,
kenapa tidak terhadap agama yang menjadi tunjang hidup? Boleh sebenarnya!
Insya’Allah.
No comments:
Post a Comment