Tuesday, January 8, 2013

Hubungan Kita Dengan Ibu Ayah


Mari kita bermuhasabah diri...

Antara banyak perkara yang perlu kita muhasabah dan insafi adalah hubungan kita dengan dengan ibu ayah. Apakah sudah cukup sekadar bertanya khabar melalui telefon atau mengirim wang ringgit itu memadai? Mungkinkah ada perkara yang kita terlepas pandang mengenai hak-hak mereka terhadap terhadap kita? Maka sewajarnya kita bermuhasabah.

Ibu ayah pada kebiasaanya hanya mendiamkan diri jika melihat kekurangan layanan anak kepada diri mereka. Mungkin kerana kasih sayangnya pada anak.

Maka, sewajar tanggungjawab kita sebagai anak menanyakan keperluan mereka dan memohon maaf jika ada kekurangan yang tidak dapat kita penuhi. Setidaknya ia menimbulkan redha mereka terhadap kita. Usah kita sibukkan diri mengejar perkara lain jika ini kita tidak perbaiki terlebih dahulu.

Dan jangan dilupa, redhanya mereka itu juga mengundang rahmat dan redha tuhan, pesan nabi s.a.w:
الرب في رضى الوالد وسخط الرب في سخط الوالد

“(Redha) Tuhan itu pada keredhan ibu ayah, dan kemurkaan tuhan itu pada kemurkaan ibu ayah” [Riwayat Al-Tirmizi: no1899]

Semoga ibu bapa kita meredhai kehidupan kita sebagai seorang anak, justeru mendoakan kebaikan untuk kita. Kerana bukan sahaja menjadi kewajipan kita mendoakan kebaikan untuk mereka, bahkan kita juga perlu mengharapkan doa mereka untuk menghadapi ujian kehidupan. Ini kerana Allah telah mengurniakan ke“mustajab”an pada diri mereka untuk kita.

Nabi kita bersabda:
ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة الوالد على ولده ودعوة المظلوم ودعوة المسافر

“Tiga doa (permintaan) yang mustajab-ditunaikan, tidak ada keraguan padanya: 1. Doa ibu ayah kepada anaknya, 2. Doa orang dizalimi, 3. Doa orang bermusafir” [Riwayat Ahmad: no10719]


Pengajaran hadith yang boleh kita ambil iktibar:

1. Berbakti kepada ibu ayah mengundang rahmat daripada Allah s.w.t. Juga sebagai tanda kita bersyukur terhadap-Nya, kerana telah mengurniakan kita ibu bapa yang telah memelihara kita sehingga dewasa.

Nabi s.a.w. bersabda:
من لا يشكر الناس لا يشكر الله

“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t” [Riwayat Al-Tirmizi: 1954].

2. Ini menunjukkan besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa, bahkan Allah s.w.t mengaitkan secara langsung keredhaannya pada ibu ayah kita. Anak yang tidak membuat orang tuanya redha terhadap dirinya sebenarnya mengundang murka Allah s.w.t.

3. Wajib mengembirakan perasaan ibu ayah agar mereka redha kepada kita. Para sarjana mengatakan dalam perkara harus, kita wajib mengikuti perkataan mereka.

Ini juga berdasarkan keumuman lafaz hadith. Nabi s.a.w tidak mengaitkan dengan perkara khusus dalam mentaati perintah mereka. Tetapi seperti yang kita maklumi, perintah agama mendahului perintah ibu ayah. Maka, selain dari itu kita patut mengambil iktibar pandangan mereka.

3. Manusia pertama dalam kehidupan kita yang wajib kita berakhlak adalah ibubapa. Kemudian barulah selainnya, adik beradik dan rakan.

Perhatikan akhlak orang terhadap ibu bapanya. Jika ihsannya terhadap ibu bapa bagus, maka dia patut dijadikan rakan. Jika tidak, jauhkan diri daripadanya.

Dua sebab:

a. Allah tidak meredhai dirinya, maka sebagai hamba-Nya kita turut tidak meredhai perkara yang Allah tidak redhai.

b. Ibu bapa adalah orang yang paling mengambil kisah mengenai kehidupannya. Maka jika sebaik-baik insan terhadap dirinya itu pun dia tidak dapat berbuat baik, inikan pula kita sekadar kenalan yang bila-bila masa boleh dia khianati.

5. Sesiapa yang menghadapi kehidupan dunia yang sempit dan sukar, muhasabah semula hubungannya dengan Allah. Jika ia bagus, maka muhasabah pula hubungannya dengan ibu ayah. Mungkin ada kurang dimana-mana.

Wallahu musta’aan.
Semoga kita menjadi anak yang soleh dan mendapat keberkatan Allah s.w.t

No comments: