Pada minggu ini, saya menerima 3 khabar kematian. Satu kematian berselang sehari, bermula pada hari Isnin hingga Jumaat. Macik dikampung, seorang teman seperguruan, dan emak kepada teman rapat saya meninggal dunia dalam tempoh ini. Walupun bukan kita yang dijemput oleh sakarat al-maut, namun ia tetap mengentarkan jiwa.
Emak kepada teman saya sempat kami ziarahi di Institut Jantung Negara (IJN) pada khamis lepas. Melihat macik ini menahan kesakitan yang dialami sangat menyayat hati. Urat hijau dan keringat di dahi jelas kelihatan menunjukkan derita yang dialami. Saya dan sahabat yang berziarah tak terkata, hanya membatu ditepi katil. Hanya sesekali berkata untuk menghiburkan keluarganya sambil diiringi ucapan takziah.
Pada hari esoknya setelah selesai mengajar saya menerima sms: “…mak aku dah tak ada. mohon doa untuk kebaikannya..”
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah: 155]
Ujian Masa
Soal kematian sehingga saat ini masih tergiang-giang dikepala. Selain berita mengenai kematian yang diterima, topik bacaan saya pada minggu ini juga berkenaan dengan mati.
Saya menerima jemputan SMK Sri Kerinci untuk memberikan pengisian mengenai pengurusan jenazah pada hari Sabtu. Kebetulan pada hari yang sama ada satu lagi majlis wajib untuk dihadiri. Iaitu majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar ditempat saya mengajar.
Terasa nak pengsan dengan jadual Jumaat-Sabtu. Akibat pengurusan masa yang tidak cekap, saya terpaksa menyiapkan bahan nota untuk program sehingga pukul 3 pagi. Bertolak ke SMK Sri Kerinci pada pukul 7 pagi sehingga pukul 1 tengahari, pulang ke UIA untuk solat dan bersiap, pukul 2 bergegas pula ke British-Malaysian Institut (BMI) sehingga pukul 6.00 petang.
Akhir sekali, mengajar al-Quran di masjid UIA sehingga Isya’. Terasa berat sungguh ujian Allah s..w.t minggu ini.
Soal Cinta dan Cita-cita
Menerima ujian demi ujian sebegini memerlukan kita banyak bersabar dan duduk seketika bermuhasabah diri. Kadang-kala, saya menghabiskan waktu petang di sekolah melihat gelagat pelajar sambil menenangkan fikiran yang tepu dan padat ini. Menyusun kembali memori dikepala dan jadual harian.
Kebelakangan ini, selain berita kematian saya juga ada menerima banyak soalan mengenai perkahwinan. Cergas juga orang-orang dikeliling ini bertanya perihal nikah kepada saya. Mungkin kebetulan mengajar bab perkahwinan untuk subjek PSI. Hampir setiap hari mulut-mulut ini rajin bertanya.
“Nta bila nak nikah?” Tanya seorang Dr yang mengajar saya di UIA.
“Ana tak tahu lah Ustaz. Bukan apa, tak ada calon lagi. Jadi ana teruskan mengejar cita-cita dulu sebelum jumpa “cinta”. Saya menjawab mudah. Ayat yang biasa saya sebut kepada pelajar saya sendiri.
“Nak ana carikan ke?” Dr tersebut mengajukan. Berpeluh juga dengar “aa..tak mengapa ustaz, nanti-nanti aje. Ana muda lagi” saya menutup terus perbualan.
Perkahwinan memerlukan “kos komitmen” yang tinggi. Begitu juga dengan pelajaran dan juga pekerjaan. Itu pandangan peribadi saya sendiri. Maka, agak sukar jika ia berjalan seiringan walaupun ia boleh dilaksanakan.
Saya selalu berpesan kepada para pelajar untuk memberikan fokus 100% maksimum kepada pelajaran. Jangan sampai terleka dengan cinta yang tidak syar’ie. Bahkan ia merupakan sesuatu yang melumatkan maruah pelaku. Haram disisi Islam. Ia juga termasuk ujian Allah s.w.t kepada hambanya yang benar-benar beriman.
Sekiranya ingin “bercinta” satu-satunya jalan adalah NIKAH. Tidak ada yang lain.
Ada sebahagian sahabat yang berkata kepada saya, nikah menjadi penyebab dirinya bertambah bersemangat untuk belajar dan bekerja. Bagi saya itu pun boleh juga. Bergantung kepada individu, kerana ia dapat menutup pintu fitnah. Maka, saya disini turut mengesyorkan kepada rakan-rakan yang telah berjumpa dengan jodohnya agar menyegerakan urusan nikah. Walaupun diri masih muda.
Namun, bagi yang masih memilih cita-cita berbanding nikah, mari kita memecut dengan lebih laju mengapai harapan dengan iringan doa. Fokus dengan apa yang kita citakan.
Bak kata Iwan Fals:
“Terbanglah Garuda ku, Singkirkan Kutu-kutu dari Sayap Mu…”
1 comment:
sy baru hilang org yg tersyg...terlalu sukar untuk menghadapi dugaan kehilangan org yg tersyg...
Post a Comment