Sunday, February 10, 2013

Merenung


Pun merenung ke langit biru 
Boleh mendamaikan jiwa yang pilu  

Saturday, February 9, 2013

Hadith Palsu Berkenaan Kelebihan Roti


Terdapat sebaran di internet mengenai hadith yang menyebutkan mengenai kemulian roti berbunyi:

Jangan potong roti dengan pisau. Hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu”.

Penulis hadith ini tidak meletakkan sumber rujukan dan tidak pula meletakkan status hadith (darjat penerimaan) berkenaan dengan fadhilat roti. Maka ramai jugalah yang percaya bulat-bulat dan menyalin semula tanpa mengetahui kesahihannya.

Hadith Berkenaan Kelebihan Roti

Hakikat sebenarnya hadith tersebut adalah palsu, bahkan tidak ada sandaran sanad. Dalam kitab “الطب النبوي” Ibn Qayyim Al-Jauzi ada menyebutkan hadith tersebut ketika membahaskan mengenai roti, katanya:

وذكر البيهقى من حديث عائشة رضى الله عنها ترفعه: "أكرِمُوا الخُبْزَ، ومِنْ كرامتِه أن لا يُنتظرَ به الإدامُ" والموقوف أشْبَهُ، فلا يثبت رفعُه، ولا رفعُ ما قبله. وأما حديثُ النهى عن قطع الخبز بالسكين، فباطل لا أصل له عن رسول الله صلى الله عليه وسلم
[الطب النبوي، ابن قيم الجوزية، بيروت: دار الكتاب العربي، ص231]

Al-Baihaqi menyebutkan hadith ‘Aisyah r.a, bahawa (dia menyandarkannya kepada Nabi s.a.w) berkata: “Muliakanlah roti, dan diantara kemuliannya ialah ia tidak menunggu al-idaam”.
(Hadith tersebut) Mauquf adalah lebih benar, tidak thabit secara marfu’, dan tidak marfu’ juga apa yang sebelumnya. Adapun hadith mengenai larangan memotong roti dengan pisau adalah bathil, tidak ada asalnya(palsu) disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Kalau kita perhatikan hadith-hadith berkaitan dengan kemulian roti, maka kita akan dapati kesemuanya tidak sahih. Saya nukilkan sebahagiannya, berdasarkan kitab  سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة وأثرها السيئ في الأمة karya Al-Albani, beserta hukum hadith daripada beliau. Antaranya:

1 – "أكرموا الخبز ، فإن الله تعالى أنزل له بركات السماء ، وأخرج له بركات الأرض"
“Muliakanlah roti, sesungguhnya Allah ta’ala menurunkan baginya keberkatan langit, dan mengeluarkan baginya keberkatan bumi” [no: 28840] Status: Dhai’f.

2 – "خير طعامكم الخبز ، وخير فاكهتكم العنب"
“Sebaik-baik makanan kamu adalah roti, dan sebaik-baik buah kamu adalah anggur” [no: 3576] Status: Palsu.

3 – "لا تشموا الخبز كما تشم السباع"
“Janganlah kamu menghidu roti sepertimana binatang menghidu” [no: 4784] Status: Dhai’f. 


Kesimpulan: 
Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk menyatakan sumber rujukan mana-mana hadith yang disebutkan dan statusnya (darjah penerimaan). Jika tidak, dia dianggap berdosa dan termasuk dalam penipuan atas nama agama.  Wallahu 'alaam. 





Tuesday, January 29, 2013

Mengisi Jiwa


Betapa seringkali jiwa manusia keletihan menghadapi pelbagai macam cubaan dunia dan yang tidak akan lepas daripada masalah.
Maka manusia cuba pelbagai cara untuk menghilang letih dijiwa dengan hiburan.  Terjadilah pelbagai macam lambakan hiburan yang manusia ciptakan untuk mengisi kehambaran jiwa. Sudahnya budaya baru, hedosime  yang hanya menambah masalah. Ia umpama air masin yang mengisi ketandusan jiwa.
Sedang manusia lupa dan lalai, satu-satunya cara mengubati kekosongan jiwa manusia hanyalah dengan mengingati Sang Pencipta segala makhluk. Berpaling daripada mengingatinya bermakna memilih “kehidupan” yang sempit.  Allah s.w.t berfirman:
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta"  [Toha: 124]
Allah mengambarkan Kehidupan tanpa pergantungan kepada tuhan menjadikan hidup manusia terasa sempit kerana sememangnya fitrah manusia itu dicipta dengan elimen jiwa yang perlu diberikan pengisian. Umpama fizikal badan yang memerlukan makan minum, demikian jugalah jiwa manusia. Mengabaikannya bererti merosakkannya, dan membiarkannya kosong dengan kebaikan bererti mengisinya kepada keburukan.
Bahkan, kesempitan jiwa yang tidak terisi itu turut ditambah dengan fikiran manusiawi yang biasanya suka akan kebendaan tetapi terbatas kemampuan untuk memilikinya.
Jiwa merasa lebih gelisah dengan sikap manusia disekeliling yang suka membanding-banding dan berbangga dengan harta yang dimiliki. Tekanan dan tuntutan seperti inilah menyebabkan jiwa manusia bertambah letih dan terasa sempit.
Allah menjelaskan dalam Al-Quran:
“ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga  bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) umpama hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat dan (ada pula) keampunan beserta keredaan dari Allah. Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” [Al-Hadid: 20]

Menenangkan Jiwa Dengan Mengingati Tuhan
Satu-satunya cara yang dapat membuka kesempitan jiwa daripada pekungan dunia adalah dengan mengingati tuhan dan keluasan rahmatnya dalam kehidupan kita. Allah s.w.t berfirman:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia” [Al-Ra’d: 28]
Al-Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menukilkan keadaan bagaimana dengan zikir seseorang dapat mententeramkan jiwa, katanya: Iaitu mereka yang mengingati Allah dan memerhatikan tanda-tanda (kebesarannya), lalu mereka akan mengetahui kesempurnaan kekuasaannya melalui basirah (pengamatan)[Al-Jami’ Li Ahkaam Al-Quran, jilid9, ms315 ]
Maka yang dimaksudkan dengan zikir tersebut adalah ketenangan jiwa yang terhasil bukan sekadar mengingati adanya tuhan, tetapi ia diikuti dengan penghayatan yang meresap ke dalam sanubari manusia.
Jika diamati terdapat beberapa sebab mengapa jiwa manusia boleh berubah menjadi tenteram, bahkan utuh menghadapi segala macam cubaan, hanya dengan zikrullah. Antaranya:
1.            Kerana ia diisi dengan kebergantungan kepada Yang Maha Kuasa. Punca kekuatan dan motivasi disandarkan kepada Allah s.w.t.  
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” [Al-Anfal: 2]
2.            Disamping itu juga, dengan mengingati kebesaran tuhan manusia sebenarnya sedang mendidik jiwanya untuk beralih kepada tuntutan nafsu yang pelbagai kepada tuntutan tuhan yang Maha Esa.
Menuruti kepada Yang Satu pastinya lebih mudah daripada memenuhi keinginan sendiri yang rencam. Bahkan ia  membebaskan diri kita daripada belengu untuk memenuhi kehendak orang lain agar mereka “menyukai” diri kita. Kesemuanya itu hanya terjadi dengan mengingati Allah dan mencari redha-Nya sahaja.
Nabi s.a.w bersabda:
«مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ»
 “Sesiapa yang berusaha mendapatkan redha Allah sekalipun akan menyebabkan kemarahan manusia, maka Allah meredhainya dan menjadikan manusia pula redha kepadanya.  Dan (sebaliknya) sesiapa yang berusaha mendapatkan redha manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan manusia pula murka kepadanya” [Riwayat Ibn Hibban: no 276]
3.            Manusia yang mengingati tuhan menyakini bahwa segala kesusahan dunia merupakan ujian tuhan dan bagi setiap cubaan pastinya menatijahkan ganjaran. Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, nicaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya, Dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” [Al-Taghabun: 11]
Kesimpulannya, mari kita sama-sama memulakan hari pertama-tamanya dengan mengingati Allah s.w.t, beralih kepada kesempitan hidup semata-mata dunia kepada keluasan rahmat yang ada disisi tuhan.
Bahkan manusia yang hanya sibuk memikirkan dunia semata sehingga meninggalkan tuntutan untuk mengingati tuhan sebenarnya adalah manusia yang layak untuk kita jauhi dan tinggalkan. Firman-Nya:
“Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan kami, dan tidak menginginkan kecuali kehidupan duniawi” [Al-Najm: 29]
Semoga diri kita mendapat ketenteraman dan kekuatan jiwa melalui rahmat Allah s.w.t dengan jalan zikrullah!. Ameen

Saturday, January 12, 2013

Jom Mencari Ilmu Wahai Para Muslimah


Saya terbaca komentar Al-Hafiz Ibn Al-Jauzi terhadap keadaan muslimah di zamannya, dia berkata: 

"Aku terus mengajak orang-orang untuk mempelajari ilmu pengetahuan (agama), sebab ilmu pengetahuan (agama) adalah lentera yang dapat dijadikan petunjuk jalan. 

Namun aku melihat kaum wanita lebih memerlukan kepada perhatian ini dari kaum lelaki kerana mereka sudah sangat jauh dari ilmu pengetahuan dan sudah dikalahkan oleh pelbagai keinginan.

Pada umumnya, di waktu kecil perempuan tidak pernah belajar al-Quran, tidak mengenal bersuci dari haid, tidak mengenal rukun-rukun solat, tidak mengetahui hak-hak suami sebelum bernikah, dan bahkan terkadang ia melihat ibunya menunda mandi (dari haid) sampai hendak mencuci pakaian dan masuk bilik air tanpa sarung. 

Jika ditanya maka dia akan menjawab, "Disini hanya ada saudaraku dan puteriku" 

Dia juga mengambil  harta suami tanpa izin. Selain itu dia menjampi-jampi (pengasih) pada suaminya dan menyatakan bahawa hal ini boleh dilakukan agar suami sayang kepadanya. Mereka melakukan solat dengan cara duduk, padahal dia mampu untuk melakukan solat dengan cara berdiri, mencari cara untuk mengugurkan kandungan apabila dia hamil dan lain-lain..."  [أحكام النساء - لابن الجوزي]

-------------------------------------
Kita Pada Waktu Ini

Keadaan sudah pun jauh berubah, dan itu adalah pandangan beliau pada masa itu. Bagaimana pula keadaan muslimah kita pada hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk sedar kepentingan mencari ilmu agama. 

Peranan kita (lelaki) untuk memotivasikan dan mengajak mereka bersama-sama mencari ilmu. 

Dengan cuti kerja saya yang masih berbaki dua minggu lebih, saya cuba untuk mentelaah fatwa-fatwa berkenaan dengan fiqh wanita. Itu azamnya. Setidaknya bila pulang ke kampung nanti saya boleh mengajarkannya kembali untuk manfaat saudari-saudari  perempuan dikalangan keluarga, insya'Allah. 

Andai kata, tak ada wanita yang benar-benar ingin memahami "fiqh wanita" itu sendiri, biar kita yang mulakan usaha. Setidaknya, kita dapat membendung kejahilan itu berlaku dalam kalangan ahli keluarga kita dengan mengajarkannya kepada mereka kelak. 

Mohon doanya...Wallahu musta'aan. 

Tuesday, January 8, 2013

Hubungan Kita Dengan Ibu Ayah


Mari kita bermuhasabah diri...

Antara banyak perkara yang perlu kita muhasabah dan insafi adalah hubungan kita dengan dengan ibu ayah. Apakah sudah cukup sekadar bertanya khabar melalui telefon atau mengirim wang ringgit itu memadai? Mungkinkah ada perkara yang kita terlepas pandang mengenai hak-hak mereka terhadap terhadap kita? Maka sewajarnya kita bermuhasabah.

Ibu ayah pada kebiasaanya hanya mendiamkan diri jika melihat kekurangan layanan anak kepada diri mereka. Mungkin kerana kasih sayangnya pada anak.

Maka, sewajar tanggungjawab kita sebagai anak menanyakan keperluan mereka dan memohon maaf jika ada kekurangan yang tidak dapat kita penuhi. Setidaknya ia menimbulkan redha mereka terhadap kita. Usah kita sibukkan diri mengejar perkara lain jika ini kita tidak perbaiki terlebih dahulu.

Dan jangan dilupa, redhanya mereka itu juga mengundang rahmat dan redha tuhan, pesan nabi s.a.w:
الرب في رضى الوالد وسخط الرب في سخط الوالد

“(Redha) Tuhan itu pada keredhan ibu ayah, dan kemurkaan tuhan itu pada kemurkaan ibu ayah” [Riwayat Al-Tirmizi: no1899]

Semoga ibu bapa kita meredhai kehidupan kita sebagai seorang anak, justeru mendoakan kebaikan untuk kita. Kerana bukan sahaja menjadi kewajipan kita mendoakan kebaikan untuk mereka, bahkan kita juga perlu mengharapkan doa mereka untuk menghadapi ujian kehidupan. Ini kerana Allah telah mengurniakan ke“mustajab”an pada diri mereka untuk kita.

Nabi kita bersabda:
ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة الوالد على ولده ودعوة المظلوم ودعوة المسافر

“Tiga doa (permintaan) yang mustajab-ditunaikan, tidak ada keraguan padanya: 1. Doa ibu ayah kepada anaknya, 2. Doa orang dizalimi, 3. Doa orang bermusafir” [Riwayat Ahmad: no10719]


Pengajaran hadith yang boleh kita ambil iktibar:

1. Berbakti kepada ibu ayah mengundang rahmat daripada Allah s.w.t. Juga sebagai tanda kita bersyukur terhadap-Nya, kerana telah mengurniakan kita ibu bapa yang telah memelihara kita sehingga dewasa.

Nabi s.a.w. bersabda:
من لا يشكر الناس لا يشكر الله

“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t” [Riwayat Al-Tirmizi: 1954].

2. Ini menunjukkan besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa, bahkan Allah s.w.t mengaitkan secara langsung keredhaannya pada ibu ayah kita. Anak yang tidak membuat orang tuanya redha terhadap dirinya sebenarnya mengundang murka Allah s.w.t.

3. Wajib mengembirakan perasaan ibu ayah agar mereka redha kepada kita. Para sarjana mengatakan dalam perkara harus, kita wajib mengikuti perkataan mereka.

Ini juga berdasarkan keumuman lafaz hadith. Nabi s.a.w tidak mengaitkan dengan perkara khusus dalam mentaati perintah mereka. Tetapi seperti yang kita maklumi, perintah agama mendahului perintah ibu ayah. Maka, selain dari itu kita patut mengambil iktibar pandangan mereka.

3. Manusia pertama dalam kehidupan kita yang wajib kita berakhlak adalah ibubapa. Kemudian barulah selainnya, adik beradik dan rakan.

Perhatikan akhlak orang terhadap ibu bapanya. Jika ihsannya terhadap ibu bapa bagus, maka dia patut dijadikan rakan. Jika tidak, jauhkan diri daripadanya.

Dua sebab:

a. Allah tidak meredhai dirinya, maka sebagai hamba-Nya kita turut tidak meredhai perkara yang Allah tidak redhai.

b. Ibu bapa adalah orang yang paling mengambil kisah mengenai kehidupannya. Maka jika sebaik-baik insan terhadap dirinya itu pun dia tidak dapat berbuat baik, inikan pula kita sekadar kenalan yang bila-bila masa boleh dia khianati.

5. Sesiapa yang menghadapi kehidupan dunia yang sempit dan sukar, muhasabah semula hubungannya dengan Allah. Jika ia bagus, maka muhasabah pula hubungannya dengan ibu ayah. Mungkin ada kurang dimana-mana.

Wallahu musta’aan.
Semoga kita menjadi anak yang soleh dan mendapat keberkatan Allah s.w.t

Monday, January 7, 2013

Mencari Teman Yang Baik


Insan, biasanya sukar untuk memotivasikan diri sendiri. Dia memerlukan teman yang boleh menegur dan mengislahkan dirinya. 

Maka menjadi kewajipan bagi kita untuk mencari teman karib yang soleh, yang boleh mendorong diri untuk melakukan kebaikan dan sentiasa mengingatkan kita kepada tuhan. 

Juga hendaknya kita menjauhkan diri dari rakan yang memberi kesan negatif pada kehidupan kita. Mempengaruhi diri ke arah keburukan. Lebih teruk daripada itu, dia menjauhkan kita dari hakikat kebenaran dan agama. 

Allah nukilkan perkara ini dalam al-Quran: 

"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepada ku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)" [al-Furqan: 28-29]

Semoga diri kita ini menjadi insan soleh, dan direzkikan Allah berdampingan dengan teman yang musleh. Ameen...

Friday, July 13, 2012

Ilmu disisi Pendakwah

Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya: “Kita sering menemukan sebahagian da’i memiliki perhatian terhadap dakwah dan ukhuwah ke jalan Allah, serta saling mencintai di dalamnya, namun mereka tidak menitik beratkan persoalan ilmu, tafaqquh dalam perkara-perkara agama dan aqidah, serta lalai daripada menghadiri majlis-majlis ilmu. Maka apakah komentar Sheikh terhadap hal ini?

Jawapan:

Komentar saya terhadap hal itu adalah : Saya mengatakan bahawa bekal  pertama yang wajib dipegangi oleh seorang da’i adalah, hendaknya dia menjadi seorang yang ‘alim (berilmu). Kerana meremehkan ilmu ertinya seseorang akan tetap berada dalam kondisi bodoh, dan dakwahnya menjadi buta tanpa mengetahui apa yang benar di dalamnya.

Jika dakwah itu berdiri di atas kebodohan, maka setiap orang akan memberikan hukum sesuai dengan apa yang difikirkan oleh akalnya, yang ia sangka benar padahal salah. Maka saya berpendapat bahawa pandangan ini adalah salah! Wajib ditinggalkan, dan hendaknya seseorang tidak berdakwah kecuali setelah mempelajaari (apa yang ia akan dakwahkan). Oleh karena itu Imam Al-Bukhari Rahimahullah telah membuat bab yang semakna dengan ini dalam kitab Sahihnya dengan menuliskan : Bab “Ilmu Sebelum Berkata dan Beramal”, lalu beliau menjadikan dalil firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

“Maka ketahuilah! Bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Haq) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan” [Muhammad : 19]

Maka seseorang haruslah mengetahui (belajar) terlebih dahulu, kemudian barulah mendakwahkannya.

Adapun dakwah tanpa landasan ilmu tidak akan istiqomah (konsisten) selamanya. Tidakkah anda melihat jika kita keluar dari Jeddah dan berangkat menuju Riyadh, lalu kita meminta petunjuk arah kepada seseorang yang kita ketahui sebagai orang yang memiliki akhlak dan niat yang baik, lalu kita katakan padanya: “Kami ingin anda menunjukkan pada kami jalan ke Riyadh”. Namun ia sebenarnya tidak mengetahui jalannya. Maka dia pun membawa kita ke perjalanan yang jauh dan panjang, hingga kita letih dan lelah, dan hasilnya adalah bahwa kita tidak sampai ke kota Riyadh. Kenapa ? Kerana orang itu tidak mengetahui jalannya.

Maka, bagaimana mungkin seseorang dapat menjadi petunjuk jalan untuk mengetahui perihal  syari’at sedang dia juga tidak mengetahui syari’at tersebut? Ini tidak mungkin selama-lamanya.


[Disalin dari kitab Ash-Shahwah Al-Islamiyah Dhawabith wa Taujihat, edisi Indonesia Panduan Kebangkitan Islam, Penulis Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, terbitan Darul Haq] – Dengan sedikit suntingan alih bahasa oleh penulis.