Friday, October 18, 2013

Pemuda Pemudi Mengemudi Arus Perubahan

Semasa MABIT Al-Amin lepas, ketika perbincangan halaqah tafseer Al-Kahf, saya ada menukilkan suatu ungkapan Dr.Wahbah Al-Zuhaili mengenai keistimewaan فتية (pemuda). Menarik untuk kita renungkan bersama, Katanya:

أن الشباب أقبل للحق وأهدى للسبل من الشيوخ الذين عتوا وانغمسوا في دين الباطل، ولهذا- كما ذكر ابن كثير- كان أكثر المستجيبين لله تعالى ولرسوله صلى الله عليه وآله وسلم شبابا، وأما المشايخ من قريش فبقوا على دينهم، ولم يؤمن منهم إلا القليل. 

أخرج الطبراني وابن المنذر عن ابن عباس قال: ما بعث الله نبيا إلا وهو شاب، وقرأ: قالوا: سمعنا فتى يذكرهم يقال له إبراهيم [سورة الأنبياء: 60]

"Sesungguhnya pemuda tu lebih menerima kebenaran dan lebih menerima petunjuk jalan daripada orang dewasa yang mereka itu degil dan tenggelam pada agama yang batil. 

Oleh yang demikian, sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Kathir: "Kebanyakkan golongan yang menyahut seruan Allah ta'ala dan Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam adalah pemuda, dan ada pun golongan mashayeikh (golongan dewasa) mereka itu kekal dengan agama mereka, dan mereka tidak beriman melainkan sedikit" 


Al-Tabrani dan Ibn Al-Munzir meriwayatkan daripada Ibn Abbas, dia berkata: Tidaklah Allah mengutusakan seorang Nabi itu melainkan dia seorang pemuda, lalu dia (Ibn Abbas) membacakan (Firman Allah) "Mereka berkata, kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala ini), namanya Ibrahim [Al-Anbiyaa': 60]...." [تفسير المنير: 15/217]


_______________________________

Golongan muda! 


Di usia ini, janganlah bazirkan masa dan tenaga dengan sewenang-wenangnya untuk tidur, berborak di alam maya, dan perkara tidak berfaedah lainnya. Gunakan kecergasan minda dan fizikal yang ada dengan perkara berfaedah yang membuatkan diri dapat menyumbangkan kepada kebaikan ummah. 


Ini kerana, saat ini merupakan saat istemewa dengan semangat dan jiwa berkobar-kobar, dan jika ia digerakkan kepada kebaikan amatlah besar kesannya kepada agama. Semangat! 


P/S: Semoga saya juga sebahagian yang bersemangat seperti pemuda Al-Kahf.




Wednesday, October 16, 2013

Wa Billahi al-Taufiq

Kita sebagai mukmin amatlah mengharapkan "taufiq" daripada Allah subahanahu wa ta'alaa. Kerana ia merupakan suatu nikmat tuhan kepada manusia yang begitu besar nilainya walaupun ia tidak datang dalam kebaikan berbentuk material. 

Ada sebahagian orang yang mungkin mempunyai ilmu agama, tetapi tidak dikurniakan "taufiq" untuk mengikuti kebenaran agama, maka kebaikan sebenar tidak dia perolehi. 

Al-Imam Ibn Qayyim rahimahullah mengungkapkan taufiq dengan katanya: 


فقد أجمع العلماء بالله على ان التوفيق أن لا يكل الله العبد إلى نفسه واجمعوا على أن الخذلان أن يخلى بينه وبين نفسه


"...Maka telah bersepakat para ulama' demi Allah bahawasanya, taufiq itu adalah Allah tidak menyerahkan seseorang hamba itu kepada dirinya sendiri, dan mereka (para ulama') bersepakat bahawasanya kehinaan itu adalah apabila Dia membiarkan diri (hamba) kepada dirinya sendiri" 
[ مفتاح دار السعادة: 1/288]

Kita berlindung kepada Allah ta'ala di atas keburukan diri kita, dan berharap agar Dia mengurniakan kepada kita taufiq untuk mengikuti kebenaran....ameen...

Saturday, October 12, 2013

Ada Apa Dengan Jema'ah


Masing-masing mempunyai pandangan terhadap jema'ah, salah satu sebabnya adalah, latar belakang orang yang memberi komentar. Secara peribadinya saya berpandangan: 

1. Mengikuti jema'ah tertentu hukumnya tidak wajib. Tidak ada kewajipan melainkan apa yang syara' telah wajibkan. Selain itu, apabila sesuatu jema'ah itu mendakwa ia wajib diikuti, bermakna ahli daripada jema'ah lain wajib keluar. Perkara ini adalah bathil.

Satu-satunya jema'ah yang wajib diikuti hanyalah, jama'ah kaum muslimin, iaitu Islam itu sendiri. Keluar daripadanya bermakna murtad.

Akan tetapi, jema'ah (organisasi dakwah) dapat membantu seseorang untuk hidup dalam beragama. Sekurang-kurang bi'ah (persekitaran) yang baik dan terdapat rakan yang boleh menegur apabila tersilap. Maka ia merupakan kebaikan.

2. Maka yang boleh kita buat sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada kita adalah, memilih jema'ah yang terbaik. Memberi ilmu agama dan panduan hidup seorang muslim.

3. Terdapat beberapa masalah lazim yang timbul dikalangan orang yang mengikuti jema'ah, antaranya:

a. Kesukaran untuk memilih perkara yang lebih utama (aulawiyaat) apabila bertembung dua tanggungjawab. Biasanya urusan pelajaran dan juga urusan jema'ah.

b. Sikap ta'asub ahli jema'ah terhadap organisasinya sendiri. Sehingga menyempitkan aktiviti khusus untuk ahli dan "menghalang" ahli daripada mengikuti aktiviti daripada organisasi lain.

c. Dakwah tertumpu kepada "pengkadiran" dan pada juzu' tertentu dalam agama. Maka ilmu atau kefahaman agama tidak berkembang dengan baik.

d. Masalah percampuran antara lelaki perempuan yang cuba untuk di islamisasikan, "Cinta Nta Nti" antara masalah yang menular.

Tahap keruncingan masalah-masalah ini pelbagai, mungkin teruk disebahagiannya dan tidak pula pada sebahagian jema'ah yang lain. Tetapi, lazimnya masalah seperti ini timbul.

Sebuah coretan pandangan pada petang yang damai....

Wednesday, October 9, 2013

Memilih Insan Soleh Untuk Dijadikan Sahabat


عَنْ أَبِى بُرْدَةَ عَنْ أَبِى مُوسَى عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً».



Daripada Abu Burdah, daripada Abu Musa, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, berkata: “Sesungguhnya perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk itu adalah umpama pembawa kasturi (minyak wangi) dan peniup (tukang besi).

Adapun pembawa kasturi, samada dia memberikan kepada mu, atau engkau membeli daripadanya, atau engkau akan mendapati darinya haruman yang baik. Adapun peniup (tukang besi), sama ada dia akan (menyebabkan) baju mu terbakar atau engkau mendapati bau busuk” [Riwayat Muslim: no.6860]

Hadith ini memberikan beberapa pengajaran dan hikmah kepada kita. Antaranya:

1. Kelebihan bersahabat dengan orang-orang yang baik, dikalangan insan yang menjaga maruah, akhlak, adab, ilmu dan wara’. Necaya kebaikan mereka itu akan kita perolehi melalui kesan berdampingan.

2. Hadith ini menunjukkan adanya tegahan berdampingan dengan orang-orang yang jahat dan buruk akhlaknya. Dikalangan pelaku maksiat, ahli bid’ah, kaki umpat, pencela, dan pembuat kerosakan.

3. Insan dituntut untuk memilih rakan atau teman yang baik dan menjauhi golongan yang tidak baik. Ini kerena persahabatan dan perdampingan memberikan kesan dan pengaruh dalam diri seseorang untuk turut serta dengan gaya kelompok yang dia sertai.

4. Sesiapa yang menginginkan istiqomah dalam menempuh jalan hidup beragama maka hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh mencari teman dan rakan yang soleh.

5. Ini juga menunjukkan, orang-orang yang dahulunya beragama boleh menjadi insan toleh (lawan perkataan soleh) sekiranya dia tersalah memilih rakan karib atau kelompoknya. Begitu jugalah sebaliknya, insan yang dahulunya tidak hidup dalam beragama boleh menjadi insan soleh dikernakan kawan-kawannya.

P/s: Maka berhati-hatilah dalam memilih rakan dan taulan. Pesan ini saya tujukan khususnya buat muda-mudi yang menempuh alam kedewasaan. Iman kita tidak kekal senantiasa, insan soleh perlu dicari sebagai pendamping. Agar kita dapat hidup dengan budaya “Berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran...”

Semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah berdampingan dengan insan soleh...ameen!

Sunday, July 28, 2013

Tudung


Aurat bagi wanita dan juga lelaki itu, prinsip asasnya sama. Selain daripada menutup, ia juga sepatutnya tidak bersifat membentuk tubuh dan tidak nipis sehingga menampakan kulit. 

Bagi wanita, kepala wajiblah ditutupi sehingga ke bahagian dada. Disamping, ia wajib memenuhi spesifikasi yang disebutkan tadi. 

Pada ketika ini bermacam inovasi tudung wujud dipasaran. Pelbagai fesyen dan warna. Daripada tudung umpama semutar berbalut di kepala sehinggalah ada yang seolah-olah bertudung saji (maaf jika saya tidak begitu pandai mengambarkan).

Saya mendapati terdapat beberapa jenis tudung yang tidak memenuhi tuntutan syara’ apabila ia dipakai walau selabuh (melebihi bahagian dada) mana sekalipun. Antaranya: 

1. Material tudung yang bersifat elastik kerana ia membentuk bahagian badan apabila dipakai. 

2. Tudung yang “transparent” berkain jarang sehingga menampakan bahagian dalam, iaitu bahagian anak tudung. 

Fesyen tidak salah, asalkan ia memenuhi tuntutan agama dan "maqsad" untuk memelihara maruah diri itu tercapai. Firman Allah s.w.t: 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Al-Ahzab: 59] 

P/s: Saya bukan pakar atau pemerhati tudung, tetapi ia sudah zahir kelihatan. Maka saya pun bicaralah juga... 

Wednesday, July 24, 2013

Petua Mendapat Anak Dan Menambah Zuriat Yang Batil

Dikala ini, terlalu banyak sebaran terhadap makanan “Sunnah” ataupun makanan mempunyai jenama “agama” padanya. Tidak kurang juga petua-petua kesihatan yang mendapat label agama.

Ini merupakan eksploitasi agama untuk tujuan dan kepentingan dunia. Semata-mata untuk menambah laris jualan atau menarik orang ramai untuk mendengar , sedang agama ini suci daripada perkara demikian.

Memang benar agama ada berbicara mengenai makanan dan seumpamanya (urusan dunia), tetapi ia tidak lebih daripada membicarakan prinsip umum untuk mengendalikannya. Sedikit benar teks agama yang mengkhususkan khasiat makanan atau petua kesihatan tertentu.

Beberapa contoh disebutkan dalam nas yang mempunyai khasiat adalah seperti madu, habbah al-sauda’, air zam-zam dan beberapa lagi. Manakala sebahagian besarnya adalah merepek dan pendustaan dibuat atas nama agama.



[ Petua Mendapat Anak Dan Menambah Zuriat ]

Saya nukilkan contoh salah faham dan dakwaan tidak benar terhadap petua kesihatan yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. antaranya hadith ini:
عن نافع عن ابن عمر قال: " جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فشكى إليه قلة الولد فأمره أن يأكل البيض والبصل"

Daripada Nafi’, daripada Ibn ‘Umar, Dia berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w dan dia mengadu kepadanya mengenai zuriatnya yang sedikit. Maka (Nabi s.a.w) memerintahkannya untuk memakan telur dan bawang” 

Hadith ini sebenarnya adalah palsu, Ibn Al-Jauzi menyebutkan: “…Dan khabar (riwayat) ini tidak syak lagi bahawa sanya ia adalah palsu, tidak halal menyebutkan (riwayat) seperti ini di dalam kitab” [الموضوعات لابن الجوزي: ج3 ص16]

Malah Ibn Al-Qayyim dalam kitabnya الطب النبوي  juga menukilkan riwayat yang hampir sama sambil memberikan komentar, katanya :
ذكر البيهقى فى "شُعَبِ الإيمان" أثراً مرفوعاً: أنَّ نبياً من الأنبياء شكى إلى الله سبحانه الضعفَ، فأمره بأكل البيض. وفى ثبوته نظرٌ.

Al-Baihaqi menyebutkan dalam (kitab) “Syuab Al-Iman” sebuah riwayat yang marfu’: «Bahawa sanya ada seorang nabi dikalangan para nabi telah mengadu kepada Allah s.w.t mengenai (dirinya yang) lemah. Maka (Allah s.w.t) memerintahkannya untuk memakan telur» dan pada kesahihannya ada pertikaian.

Saya yakin dan percaya tips menambah zuriat dankekuatan ini berlegar di alam maya sedangkan riwayat ini palsu dan batil. Lebih malang lagi sekiranya ia disandarkan terus kepada Nabi s.a.w sebagai “rawatan Islam”, dan jika tidak berhasil apa-apa maka hadith nabi s.a.w itu yang menjadi tohmahan dan dipertikai. Mereka mengambil secara bulat-bulat riwayat seperti ini tanpa memeriksa terlebih dahulu statusnya ataupun komentar ahli bidang (hadith).

Sikap kita sebagai awam adalah dengan meneliti dahulu khabar-khabar seperti ini, paling tidak dengan bertanya kepada ahli bidangnya. Apakah ia benar sahih atau palsu batil?

Kita boleh bersungguh meniliti urusan dunia kita untuk mengelak rugi dan sebagainya, kenapa tidak terhadap agama yang menjadi tunjang hidup? Boleh sebenarnya! Insya’Allah.  




Pelaku Maksiat di Bulan Ramadhan

[FATWA MENGENAI RAMADHAN] 

سئل فضيلة الشيخ - رحمه الله تعالى -: حينما يقع الصائم في معصية من المعاصي وينهى عنها يقول: «رمضان كريم» فما حكم هذه الكلمة؟ وما حكم هذا التصرف؟

Fadhila Al-Shaikh (Soleh Ibn Uthaimeen) telah ditanya – rahimahullah – : “Tatkala seseorang yang berpuasa terjerumus dalam maksiat, dan dia ditegah (daripada melakukannya), Dia menjawab: “Ramadhan Kareem” Maka apakah hukum perkataan (ucapan) ini? Dan apakah pula hukum bagi perbuatan tersebut?

فأجاب فضيلته بقوله: حكم ذلك أن هذه الكلمة «رمضان كريم» غير صحيحة، وإنما يقال: «رمضان مبارك» وما أشبه ذلك، لأن رمضان ليس هو الذي يعطي حتى يكون كريماً، وإنما الله تعالى هو الذي وضع فيه الفضل، وجعله شهراً فاضلاً، ووقتاً لأداء ركن من أركان الإسلام،

Fadhila (Al-Shaikh) menjawab dengan katanya: “Hukum yang demikian itu, bahawasanya perkataan “Ramadhan Kareem” tidak sahih (benar). Tetapi (sepatutnya) diucapkan “Ramadhan Mubaraak” (yang diberkati) dan yang seumpama dengannya. 

Ini kerana bukanlah ramadhan itu yang memberi sehingga ia menjadi “kareem” (pemurah – mulia). Akan tetapi Allah ta’ala yang meletakkan padanya kelebihan, dan menjadikannya bulan yang mempunyai fadhilat (kelebihan) dan sebagai waktu untuk menunaikan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. 

وكأن هذا القائل يظن أنه لشرف الزمان يجوز فيه فعل المعاصي، وهذا خلاف ما قاله أهل العلم بأن السيئات تعظم في الزمان والمكان الفاضل، عكس ما يتصوره هذا القائل، 

Dan seolah-olah yang mengucapkan ini (ketika bermaksiat) menyangka, disebabkan mulianya waktu ini maka harus baginya melakukan maksiat. Ini bertentangan dengan apa yang diucapkan oleh ahli sarjana, bahawasanya kejahatan menjadi sangat besar (dosanya) apabila ia dilakukan pada masa dan tempat yang mempunyai kelebihan, bertentangan dengan apa yang digambarkan oleh si pengucap ini. 

وقالوا: يجب على الإنسان أن يتقي الله عز وجل في كل وقت وفي كل مكان، لاسيما في الأوقات الفاضلة والأماكن الفاضلة، وقد قال الله عز وجل: {ياأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ } فالحكمة من فرض الصوم تقوى الله عز وجل بفعل أوامره واجتناب نواهيه،

Dan mereka (ahli sarjana) mengatakan: Wajib ke atas manusia supaya bertaqwa kepada Allah ‘azza wa jalla pada setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi pada waktu-waktu yang mempunyai fadhilat dan tempat-tempat yang mempunyai fadhilat. 

Firman Allah ‘azza wa jalla: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Maka hikmah daripada kefardhuan puasa adalah taqwa kepada Allah ‘azza wa jalla dengan melaksanakan perintah-Nya dan meniggalkan larangan-Nya.

وثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: «من لم يدع قول الزور، والعمل به، والجهل، فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه» فالصيام عبادة لله، وتربية للنفس وصيانة لها عن محارم الله، وليس كما قال هذا الجاهل: إن هذا الشهر لشرفه وبركته يسوغ فيه فعل المعاصي.

Dan telah thabit daripada Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata nista, dan melakukannya, serta (perlakuan) jahil, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya” 

Maka puasa adalah ibadah untuk Allah, dan tarbiah serta perisai untuk jiwa daripada keharaman (yang ditentukan) Allah, dan bukanlah seperti mana yang dikatakan oleh orang jahil ini: “Sesungguhnya bulan ini disebabkan kemulian dan keberkatannya, dibolehkan melakukan maksiat.”

[Diterjemahkan daripada buku: مجموع فتاوى ورسائل ابن عثيمين، دار الوطن - دار الثريا] 
Soalan fatwa no: 154. 

----------------------------------------------

Beberapa kesimpulan daripada fatwa ini: 

1. Ucapan "Ramadhan Kareem" sebaiknya tidak digunakan dan digantikan dengan "Ramadhan Mubarak".

2. Keberkatan di bulan Ramadhan ini bukanlah bermaksud pelaku maksiat boleh meneruskan maksiatnya kerana adanya rahmat dan fadhilat bulan ini. 

3. Dikalangan ahli sarjana menyatakan bahawa, melakukan maksiat di bulan Ramadhan sangat besar dosanya. Sebagaimana ia mempunyai kelebihan yang banyak.

Sahabat sekalian, semoga kita benar-benar berusaha untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t pada bulan ini dan terhindar daripada melakukan maksiat di dalamnya. Ameen ya Rabb!

Sunday, February 10, 2013

Merenung


Pun merenung ke langit biru 
Boleh mendamaikan jiwa yang pilu  

Saturday, February 9, 2013

Hadith Palsu Berkenaan Kelebihan Roti


Terdapat sebaran di internet mengenai hadith yang menyebutkan mengenai kemulian roti berbunyi:

Jangan potong roti dengan pisau. Hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu”.

Penulis hadith ini tidak meletakkan sumber rujukan dan tidak pula meletakkan status hadith (darjat penerimaan) berkenaan dengan fadhilat roti. Maka ramai jugalah yang percaya bulat-bulat dan menyalin semula tanpa mengetahui kesahihannya.

Hadith Berkenaan Kelebihan Roti

Hakikat sebenarnya hadith tersebut adalah palsu, bahkan tidak ada sandaran sanad. Dalam kitab “الطب النبوي” Ibn Qayyim Al-Jauzi ada menyebutkan hadith tersebut ketika membahaskan mengenai roti, katanya:

وذكر البيهقى من حديث عائشة رضى الله عنها ترفعه: "أكرِمُوا الخُبْزَ، ومِنْ كرامتِه أن لا يُنتظرَ به الإدامُ" والموقوف أشْبَهُ، فلا يثبت رفعُه، ولا رفعُ ما قبله. وأما حديثُ النهى عن قطع الخبز بالسكين، فباطل لا أصل له عن رسول الله صلى الله عليه وسلم
[الطب النبوي، ابن قيم الجوزية، بيروت: دار الكتاب العربي، ص231]

Al-Baihaqi menyebutkan hadith ‘Aisyah r.a, bahawa (dia menyandarkannya kepada Nabi s.a.w) berkata: “Muliakanlah roti, dan diantara kemuliannya ialah ia tidak menunggu al-idaam”.
(Hadith tersebut) Mauquf adalah lebih benar, tidak thabit secara marfu’, dan tidak marfu’ juga apa yang sebelumnya. Adapun hadith mengenai larangan memotong roti dengan pisau adalah bathil, tidak ada asalnya(palsu) disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Kalau kita perhatikan hadith-hadith berkaitan dengan kemulian roti, maka kita akan dapati kesemuanya tidak sahih. Saya nukilkan sebahagiannya, berdasarkan kitab  سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة وأثرها السيئ في الأمة karya Al-Albani, beserta hukum hadith daripada beliau. Antaranya:

1 – "أكرموا الخبز ، فإن الله تعالى أنزل له بركات السماء ، وأخرج له بركات الأرض"
“Muliakanlah roti, sesungguhnya Allah ta’ala menurunkan baginya keberkatan langit, dan mengeluarkan baginya keberkatan bumi” [no: 28840] Status: Dhai’f.

2 – "خير طعامكم الخبز ، وخير فاكهتكم العنب"
“Sebaik-baik makanan kamu adalah roti, dan sebaik-baik buah kamu adalah anggur” [no: 3576] Status: Palsu.

3 – "لا تشموا الخبز كما تشم السباع"
“Janganlah kamu menghidu roti sepertimana binatang menghidu” [no: 4784] Status: Dhai’f. 


Kesimpulan: 
Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk menyatakan sumber rujukan mana-mana hadith yang disebutkan dan statusnya (darjah penerimaan). Jika tidak, dia dianggap berdosa dan termasuk dalam penipuan atas nama agama.  Wallahu 'alaam. 





Tuesday, January 29, 2013

Mengisi Jiwa


Betapa seringkali jiwa manusia keletihan menghadapi pelbagai macam cubaan dunia dan yang tidak akan lepas daripada masalah.
Maka manusia cuba pelbagai cara untuk menghilang letih dijiwa dengan hiburan.  Terjadilah pelbagai macam lambakan hiburan yang manusia ciptakan untuk mengisi kehambaran jiwa. Sudahnya budaya baru, hedosime  yang hanya menambah masalah. Ia umpama air masin yang mengisi ketandusan jiwa.
Sedang manusia lupa dan lalai, satu-satunya cara mengubati kekosongan jiwa manusia hanyalah dengan mengingati Sang Pencipta segala makhluk. Berpaling daripada mengingatinya bermakna memilih “kehidupan” yang sempit.  Allah s.w.t berfirman:
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta"  [Toha: 124]
Allah mengambarkan Kehidupan tanpa pergantungan kepada tuhan menjadikan hidup manusia terasa sempit kerana sememangnya fitrah manusia itu dicipta dengan elimen jiwa yang perlu diberikan pengisian. Umpama fizikal badan yang memerlukan makan minum, demikian jugalah jiwa manusia. Mengabaikannya bererti merosakkannya, dan membiarkannya kosong dengan kebaikan bererti mengisinya kepada keburukan.
Bahkan, kesempitan jiwa yang tidak terisi itu turut ditambah dengan fikiran manusiawi yang biasanya suka akan kebendaan tetapi terbatas kemampuan untuk memilikinya.
Jiwa merasa lebih gelisah dengan sikap manusia disekeliling yang suka membanding-banding dan berbangga dengan harta yang dimiliki. Tekanan dan tuntutan seperti inilah menyebabkan jiwa manusia bertambah letih dan terasa sempit.
Allah menjelaskan dalam Al-Quran:
“ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga  bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) umpama hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat dan (ada pula) keampunan beserta keredaan dari Allah. Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” [Al-Hadid: 20]

Menenangkan Jiwa Dengan Mengingati Tuhan
Satu-satunya cara yang dapat membuka kesempitan jiwa daripada pekungan dunia adalah dengan mengingati tuhan dan keluasan rahmatnya dalam kehidupan kita. Allah s.w.t berfirman:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia” [Al-Ra’d: 28]
Al-Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menukilkan keadaan bagaimana dengan zikir seseorang dapat mententeramkan jiwa, katanya: Iaitu mereka yang mengingati Allah dan memerhatikan tanda-tanda (kebesarannya), lalu mereka akan mengetahui kesempurnaan kekuasaannya melalui basirah (pengamatan)[Al-Jami’ Li Ahkaam Al-Quran, jilid9, ms315 ]
Maka yang dimaksudkan dengan zikir tersebut adalah ketenangan jiwa yang terhasil bukan sekadar mengingati adanya tuhan, tetapi ia diikuti dengan penghayatan yang meresap ke dalam sanubari manusia.
Jika diamati terdapat beberapa sebab mengapa jiwa manusia boleh berubah menjadi tenteram, bahkan utuh menghadapi segala macam cubaan, hanya dengan zikrullah. Antaranya:
1.            Kerana ia diisi dengan kebergantungan kepada Yang Maha Kuasa. Punca kekuatan dan motivasi disandarkan kepada Allah s.w.t.  
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” [Al-Anfal: 2]
2.            Disamping itu juga, dengan mengingati kebesaran tuhan manusia sebenarnya sedang mendidik jiwanya untuk beralih kepada tuntutan nafsu yang pelbagai kepada tuntutan tuhan yang Maha Esa.
Menuruti kepada Yang Satu pastinya lebih mudah daripada memenuhi keinginan sendiri yang rencam. Bahkan ia  membebaskan diri kita daripada belengu untuk memenuhi kehendak orang lain agar mereka “menyukai” diri kita. Kesemuanya itu hanya terjadi dengan mengingati Allah dan mencari redha-Nya sahaja.
Nabi s.a.w bersabda:
«مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ»
 “Sesiapa yang berusaha mendapatkan redha Allah sekalipun akan menyebabkan kemarahan manusia, maka Allah meredhainya dan menjadikan manusia pula redha kepadanya.  Dan (sebaliknya) sesiapa yang berusaha mendapatkan redha manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan manusia pula murka kepadanya” [Riwayat Ibn Hibban: no 276]
3.            Manusia yang mengingati tuhan menyakini bahwa segala kesusahan dunia merupakan ujian tuhan dan bagi setiap cubaan pastinya menatijahkan ganjaran. Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, nicaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya, Dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” [Al-Taghabun: 11]
Kesimpulannya, mari kita sama-sama memulakan hari pertama-tamanya dengan mengingati Allah s.w.t, beralih kepada kesempitan hidup semata-mata dunia kepada keluasan rahmat yang ada disisi tuhan.
Bahkan manusia yang hanya sibuk memikirkan dunia semata sehingga meninggalkan tuntutan untuk mengingati tuhan sebenarnya adalah manusia yang layak untuk kita jauhi dan tinggalkan. Firman-Nya:
“Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari orang yang berpaling dari peringatan kami, dan tidak menginginkan kecuali kehidupan duniawi” [Al-Najm: 29]
Semoga diri kita mendapat ketenteraman dan kekuatan jiwa melalui rahmat Allah s.w.t dengan jalan zikrullah!. Ameen

Saturday, January 12, 2013

Jom Mencari Ilmu Wahai Para Muslimah


Saya terbaca komentar Al-Hafiz Ibn Al-Jauzi terhadap keadaan muslimah di zamannya, dia berkata: 

"Aku terus mengajak orang-orang untuk mempelajari ilmu pengetahuan (agama), sebab ilmu pengetahuan (agama) adalah lentera yang dapat dijadikan petunjuk jalan. 

Namun aku melihat kaum wanita lebih memerlukan kepada perhatian ini dari kaum lelaki kerana mereka sudah sangat jauh dari ilmu pengetahuan dan sudah dikalahkan oleh pelbagai keinginan.

Pada umumnya, di waktu kecil perempuan tidak pernah belajar al-Quran, tidak mengenal bersuci dari haid, tidak mengenal rukun-rukun solat, tidak mengetahui hak-hak suami sebelum bernikah, dan bahkan terkadang ia melihat ibunya menunda mandi (dari haid) sampai hendak mencuci pakaian dan masuk bilik air tanpa sarung. 

Jika ditanya maka dia akan menjawab, "Disini hanya ada saudaraku dan puteriku" 

Dia juga mengambil  harta suami tanpa izin. Selain itu dia menjampi-jampi (pengasih) pada suaminya dan menyatakan bahawa hal ini boleh dilakukan agar suami sayang kepadanya. Mereka melakukan solat dengan cara duduk, padahal dia mampu untuk melakukan solat dengan cara berdiri, mencari cara untuk mengugurkan kandungan apabila dia hamil dan lain-lain..."  [أحكام النساء - لابن الجوزي]

-------------------------------------
Kita Pada Waktu Ini

Keadaan sudah pun jauh berubah, dan itu adalah pandangan beliau pada masa itu. Bagaimana pula keadaan muslimah kita pada hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk sedar kepentingan mencari ilmu agama. 

Peranan kita (lelaki) untuk memotivasikan dan mengajak mereka bersama-sama mencari ilmu. 

Dengan cuti kerja saya yang masih berbaki dua minggu lebih, saya cuba untuk mentelaah fatwa-fatwa berkenaan dengan fiqh wanita. Itu azamnya. Setidaknya bila pulang ke kampung nanti saya boleh mengajarkannya kembali untuk manfaat saudari-saudari  perempuan dikalangan keluarga, insya'Allah. 

Andai kata, tak ada wanita yang benar-benar ingin memahami "fiqh wanita" itu sendiri, biar kita yang mulakan usaha. Setidaknya, kita dapat membendung kejahilan itu berlaku dalam kalangan ahli keluarga kita dengan mengajarkannya kepada mereka kelak. 

Mohon doanya...Wallahu musta'aan. 

Tuesday, January 8, 2013

Hubungan Kita Dengan Ibu Ayah


Mari kita bermuhasabah diri...

Antara banyak perkara yang perlu kita muhasabah dan insafi adalah hubungan kita dengan dengan ibu ayah. Apakah sudah cukup sekadar bertanya khabar melalui telefon atau mengirim wang ringgit itu memadai? Mungkinkah ada perkara yang kita terlepas pandang mengenai hak-hak mereka terhadap terhadap kita? Maka sewajarnya kita bermuhasabah.

Ibu ayah pada kebiasaanya hanya mendiamkan diri jika melihat kekurangan layanan anak kepada diri mereka. Mungkin kerana kasih sayangnya pada anak.

Maka, sewajar tanggungjawab kita sebagai anak menanyakan keperluan mereka dan memohon maaf jika ada kekurangan yang tidak dapat kita penuhi. Setidaknya ia menimbulkan redha mereka terhadap kita. Usah kita sibukkan diri mengejar perkara lain jika ini kita tidak perbaiki terlebih dahulu.

Dan jangan dilupa, redhanya mereka itu juga mengundang rahmat dan redha tuhan, pesan nabi s.a.w:
الرب في رضى الوالد وسخط الرب في سخط الوالد

“(Redha) Tuhan itu pada keredhan ibu ayah, dan kemurkaan tuhan itu pada kemurkaan ibu ayah” [Riwayat Al-Tirmizi: no1899]

Semoga ibu bapa kita meredhai kehidupan kita sebagai seorang anak, justeru mendoakan kebaikan untuk kita. Kerana bukan sahaja menjadi kewajipan kita mendoakan kebaikan untuk mereka, bahkan kita juga perlu mengharapkan doa mereka untuk menghadapi ujian kehidupan. Ini kerana Allah telah mengurniakan ke“mustajab”an pada diri mereka untuk kita.

Nabi kita bersabda:
ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة الوالد على ولده ودعوة المظلوم ودعوة المسافر

“Tiga doa (permintaan) yang mustajab-ditunaikan, tidak ada keraguan padanya: 1. Doa ibu ayah kepada anaknya, 2. Doa orang dizalimi, 3. Doa orang bermusafir” [Riwayat Ahmad: no10719]


Pengajaran hadith yang boleh kita ambil iktibar:

1. Berbakti kepada ibu ayah mengundang rahmat daripada Allah s.w.t. Juga sebagai tanda kita bersyukur terhadap-Nya, kerana telah mengurniakan kita ibu bapa yang telah memelihara kita sehingga dewasa.

Nabi s.a.w. bersabda:
من لا يشكر الناس لا يشكر الله

“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah s.w.t” [Riwayat Al-Tirmizi: 1954].

2. Ini menunjukkan besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa, bahkan Allah s.w.t mengaitkan secara langsung keredhaannya pada ibu ayah kita. Anak yang tidak membuat orang tuanya redha terhadap dirinya sebenarnya mengundang murka Allah s.w.t.

3. Wajib mengembirakan perasaan ibu ayah agar mereka redha kepada kita. Para sarjana mengatakan dalam perkara harus, kita wajib mengikuti perkataan mereka.

Ini juga berdasarkan keumuman lafaz hadith. Nabi s.a.w tidak mengaitkan dengan perkara khusus dalam mentaati perintah mereka. Tetapi seperti yang kita maklumi, perintah agama mendahului perintah ibu ayah. Maka, selain dari itu kita patut mengambil iktibar pandangan mereka.

3. Manusia pertama dalam kehidupan kita yang wajib kita berakhlak adalah ibubapa. Kemudian barulah selainnya, adik beradik dan rakan.

Perhatikan akhlak orang terhadap ibu bapanya. Jika ihsannya terhadap ibu bapa bagus, maka dia patut dijadikan rakan. Jika tidak, jauhkan diri daripadanya.

Dua sebab:

a. Allah tidak meredhai dirinya, maka sebagai hamba-Nya kita turut tidak meredhai perkara yang Allah tidak redhai.

b. Ibu bapa adalah orang yang paling mengambil kisah mengenai kehidupannya. Maka jika sebaik-baik insan terhadap dirinya itu pun dia tidak dapat berbuat baik, inikan pula kita sekadar kenalan yang bila-bila masa boleh dia khianati.

5. Sesiapa yang menghadapi kehidupan dunia yang sempit dan sukar, muhasabah semula hubungannya dengan Allah. Jika ia bagus, maka muhasabah pula hubungannya dengan ibu ayah. Mungkin ada kurang dimana-mana.

Wallahu musta’aan.
Semoga kita menjadi anak yang soleh dan mendapat keberkatan Allah s.w.t

Monday, January 7, 2013

Mencari Teman Yang Baik


Insan, biasanya sukar untuk memotivasikan diri sendiri. Dia memerlukan teman yang boleh menegur dan mengislahkan dirinya. 

Maka menjadi kewajipan bagi kita untuk mencari teman karib yang soleh, yang boleh mendorong diri untuk melakukan kebaikan dan sentiasa mengingatkan kita kepada tuhan. 

Juga hendaknya kita menjauhkan diri dari rakan yang memberi kesan negatif pada kehidupan kita. Mempengaruhi diri ke arah keburukan. Lebih teruk daripada itu, dia menjauhkan kita dari hakikat kebenaran dan agama. 

Allah nukilkan perkara ini dalam al-Quran: 

"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepada ku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)" [al-Furqan: 28-29]

Semoga diri kita ini menjadi insan soleh, dan direzkikan Allah berdampingan dengan teman yang musleh. Ameen...

Friday, July 13, 2012

Ilmu disisi Pendakwah

Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya: “Kita sering menemukan sebahagian da’i memiliki perhatian terhadap dakwah dan ukhuwah ke jalan Allah, serta saling mencintai di dalamnya, namun mereka tidak menitik beratkan persoalan ilmu, tafaqquh dalam perkara-perkara agama dan aqidah, serta lalai daripada menghadiri majlis-majlis ilmu. Maka apakah komentar Sheikh terhadap hal ini?

Jawapan:

Komentar saya terhadap hal itu adalah : Saya mengatakan bahawa bekal  pertama yang wajib dipegangi oleh seorang da’i adalah, hendaknya dia menjadi seorang yang ‘alim (berilmu). Kerana meremehkan ilmu ertinya seseorang akan tetap berada dalam kondisi bodoh, dan dakwahnya menjadi buta tanpa mengetahui apa yang benar di dalamnya.

Jika dakwah itu berdiri di atas kebodohan, maka setiap orang akan memberikan hukum sesuai dengan apa yang difikirkan oleh akalnya, yang ia sangka benar padahal salah. Maka saya berpendapat bahawa pandangan ini adalah salah! Wajib ditinggalkan, dan hendaknya seseorang tidak berdakwah kecuali setelah mempelajaari (apa yang ia akan dakwahkan). Oleh karena itu Imam Al-Bukhari Rahimahullah telah membuat bab yang semakna dengan ini dalam kitab Sahihnya dengan menuliskan : Bab “Ilmu Sebelum Berkata dan Beramal”, lalu beliau menjadikan dalil firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

“Maka ketahuilah! Bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Haq) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan” [Muhammad : 19]

Maka seseorang haruslah mengetahui (belajar) terlebih dahulu, kemudian barulah mendakwahkannya.

Adapun dakwah tanpa landasan ilmu tidak akan istiqomah (konsisten) selamanya. Tidakkah anda melihat jika kita keluar dari Jeddah dan berangkat menuju Riyadh, lalu kita meminta petunjuk arah kepada seseorang yang kita ketahui sebagai orang yang memiliki akhlak dan niat yang baik, lalu kita katakan padanya: “Kami ingin anda menunjukkan pada kami jalan ke Riyadh”. Namun ia sebenarnya tidak mengetahui jalannya. Maka dia pun membawa kita ke perjalanan yang jauh dan panjang, hingga kita letih dan lelah, dan hasilnya adalah bahwa kita tidak sampai ke kota Riyadh. Kenapa ? Kerana orang itu tidak mengetahui jalannya.

Maka, bagaimana mungkin seseorang dapat menjadi petunjuk jalan untuk mengetahui perihal  syari’at sedang dia juga tidak mengetahui syari’at tersebut? Ini tidak mungkin selama-lamanya.


[Disalin dari kitab Ash-Shahwah Al-Islamiyah Dhawabith wa Taujihat, edisi Indonesia Panduan Kebangkitan Islam, Penulis Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, terbitan Darul Haq] – Dengan sedikit suntingan alih bahasa oleh penulis.