Monday, May 2, 2011

Isu kantin Al-Amin: Suatu Kritikan Terbuka

Makanan merupakan keperluan asas bagi setiap yang bernyawa. Maka, kehidupan seharian bagi makhluk yang memiliki ruh amat berkait rapat dengan makanan.

Islam sebagai agama yang mengaturkan corak kehidupan manusia, meletakkan prinsip asas bagaimana manusiawi menjalankan kehidupan agar lebih teratur dan harmoni. Oleh kerana makanan merupakan salah satu faktor terpenting dalam hidup manusia, maka ia (makanan) turut mempunyai disiplin yang Islam letakkan untuk “berinteraksi” dengan hal-ehwal makan minum.

Nabi s.a.w bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu (bersifat dengan sifat) baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkannya kepada para rasul.” Lalu baginda membacakan Firman Allah: “Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. – surah al-Mukminun: 51”... [hadith riwayat Muslim]

Hadith diatas menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah memerintahkan para rasul untuk makan benda yang tidak sekadar halal, tetapi makanan itu juga hendaklah baik. Justeru, mukmin turut menerima perintah yang sama.

Muslim selalu mengingati yang halal tetapi melupakan unsur baik yang perlu ada pada makanan. Apabila disebut sahaja babi atau arak, kita pasti memandangnya adalah sesuatu yang haram dan tidak boleh dimakan. Akan tetapi, kita jarang memandang yang halal itu juga tidak semestinya baik untuk dimakan.

Rujukan baik disisi Islam tidak sekadar suci daripada najis, akan tetapi turut bersangkut paut dengan cara penyedian. Iaitu, hasil akhir hidangan itu mestilah sihat untuk tubuh badan. Contohnya, kari ayam yang asalnya halal untuk dimakan tidak baik untuk dijamah sekiranya ia telah pun basi. Kari ayam yang basi tidaklah haram untuk dimakan dari sudut zatnya, tetapi akan mendatangkan keburukan bagi sesiapa yang mejamahnya.

Perihal inilah yang sering diabaikan oleh ummat Islam hari ini. Walaupun unsur tidak baik (baca: tidak sehat) itu terjadi secara tidak langsung, ia sewajarnya dielakkan. Umpamanya makan yang mengandungi garam dan gula yang berlebihan, adalah unsur yang tidak baik ujud bagi sesetengah makanan.

kantin Al-Amin: Suatu Kritikan

Sejak kebelakangan ini, timbul huru-hara yang melibatkan kantin. Mengenai kebersihan makanan yang disediakan untuk warga sekolah. Saya bukanlah “penduduk” yang menetap lama di Al-Amin, sekadar memasuki usia dua tahun disana. Akan tetapi saban minggu ada sahaja yang tidak kena mengenai perihal makanan yang disediakan oleh pihak kantin.

Memang tidak dipertikai dari sudut kehalalan makan tersebut, akan tetapi yang sering menjadi buah mulut adalah dari sudut “baik”nya.

Klimaks bagi isu kualiti makanan ini adalah pada tahun lepas, dimana sejumlah murid sekolah rendah keracunan makanan. Kantin diwajibkan tutup untuk siasatan selama lebih kurang dua minggu.

Tidak sekadar itu, warga pendidik saban hari menjumpai “benda asing” dihidangan mereka. Ulat, segumpal rambut, dawai kokot, batu, dan pelbagai lagi. Malah, pernah ada hidangan yang berbau busuk pernah dihidangkan untuk guru-guru. Cuma takdir Allah s.w.t (na’uzubillah) guru-guru belum keracunan. Mungkin sebab imiun orang dewasa yang berbeza daripada kanak-kanak.

Ini bukanlah isu baru, malah ia bermula sejak penubuhan sekolah lagi, kata beberapa orang lama. Tindakan amaran dan nasihat telah banyak kali dilakukan, tetapi hasilnya sama sahaja. “Makhluk asing” tetap ujud pada makanan.

Baru-baru ini, suatu usaha telah dijalankan oleh pihak atasan dan pelan tindakan pembaikan kantin turut dibentangkan kepada warga pendidik. Sehinggakan ada yang menawarkan untuk meletakkan jawatan sekiranya tidak ada apa-apa hasil pembaikan kelihatan.

Secara peribadinya, saya fikir ia tetap tidak akan berhasil. Kerana ini bukanlah “janji” pertama, tetapi ia sudah lebih dari yang sepatutnya. Juga firasat saya berandaian, orang yang telah berjanji tersebut akan meletakkan jawatannya kelak. Walaupun dia bukanlah yang sepatutnya berbuat demikian.

Punca sebenar

Ada beberapa pihak berkepentingan terhadap pengurusan kantin ini dan mereka itu kelihatan jelas tidak ikhlas. Mereka ini tidak telus dalam melakukan pembaikan terhadap urusan makan minum warga Al-Amin. Sekiranya mereka itu benar-benar ikhlas, kemungkinan besar masalah ini telah pun selesai 10 tahun yang lepas.

Apa yang mereka fikirkan bahawa isu ini akan selesai sesudah perbincangan sekadar satu jam tempoh hari berakhir?

Sedangkan pihak yang benar-benar bertanggungjawab mengenai hal ini tidak muncul ketika perbincangan tersebut diadakan. Lagi mendukacitakan, pihak kantin juga tidak dipanggil memberikan ulasan ketika sesi tersebut berlangsung. Sesi yang diadakan tempoh hari juga hanya menyatakan pelan pembaik-pulihan, yang saya fikir mana-mana budak tingkatan 5 boleh melakukannya.

Mungkin juga hanya mainan psikologi, untuk meredakan keadaan buat seketika.

Isu kantin dan penyediaan makanan ini sudah berlarutan saban tahun, dan ia bukanlah perkara baru bagi seluruh warganya. Malah, tindakan yang diambil juga berlebih kurang bentuknya. Hasilnya, tidak ada suatu solusi konkrit terhasil. Akhirnya masalah ini hanya menjadi sesi membuang masa dan tenaga warga sekolah untuk dibahaskan.

Maka, satu-satunya cara terbaik yang WAJIB dilaksanakan adalah dengan menukarkan pemegang amanah (orang yang benar-benar dipertanggungjawabkan) dalam hal-ehwal urusan makanan dikantin. Tender. Sekiranya tidak, ia akan berulang dan terus berulang.

Hakikatnya, pengurus utama kantin sedia ada ini tidak mempunyai kekuatan dalam pengurusan dan hal-ehwal makanan. Dalam erti kata lain, dia bukanlah orang yang selayaknya diberikan tugas kerana tidak berjaya memikul amanah yang diberikan sejak bertahun yang lalu.

Jika pihak-pihak ini masih berdegil dan tidak mahu menyerahkan amanah kepada orang yang selayaknya, maka tunggulah kepincangan sistem sekolah. Kerana ada pihak yang tidak ikhlas dan amanah menjalankan tugas telah dilantik menjadi pimpinan dalam pengurusan. Umum mengetahui, tradisi ini jika diamalkan hanya akan membinasakan ummah.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w, bahawa dia telah bersabda: “ Jika telah dihilangkan amanah, maka tunggulah hari kebinasaan (Qiamat). Sahabat bertanya: bagaimana hilangnya amanah? Nabi s.a.w menjawab: “Apabila disandarkan urusan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah hari kebinasaan (Qiamat)!” [hadith riwayat al-Bukhari]

Maka, satu-satu jalan yang terbaik adalah dengan menukarkan pengurasan yang lebih beramanah dan punya kekuatan dalam pentadbiran kantin.

Kesimpulan

Mungkin ada sesetengah pihak yang dikritik tersalah faham, kritikan ini tidak dihalakan untuk mempertikai keperibadian seseorang. Hanya saja, ada tindakan individu terbabit telah menzalimi saudara seagama dan memberi kesan terhadap kehidupan hamba Allah yang lain. Boleh jadi, yang bertanggungjawab terhadap urusan kantin ini baik agama dan akhlaknya. Akan tetapi, kritikan ini sebenarnya adalah hasil daripada ketidakmampuannya terhadap amanah dan urusan yang telah diberikan.

Seseorang manusia itu mungkin baik dalam sesetengah urusan, dan tidak untuk sesetengah urusan yang lain. Kita juga mengakui bahawa mustahil untuk seseorang insan itu tidak mempunyai kekurangan dan sempurna dalam segala aspek dalam hidupnya.

Wahai saudara/saudari seagama:

...”وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَى مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

“...dan Aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang Aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama Aku masih berkesanggupan. dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah Aku bertawakkal dan Hanya kepada-Nya-lah Aku kembali.” [surah Hud: 88]


Wallahu musta’aan (Allah adalah sebaik-baik tempat kita memohon pertolongan).


1 comments:

Ahmad Isyraf Imrani said...

warga Al-Amin patut baca post ustaz ni, hehe :)