Cerita Selasa 2 minggu lepas, ada dua orang pelajar datang berjumpa bertanyakan perihal perempuan menjadi imam. Dimanakah kedudukannya sebagai imam. Saya pernah membaca persoalan ini, cuma untuk jawapan yang lebih baik saya perlu menyemak dalil dan hujahnya lagi.
Agaknya disebabkan waktu senggang yang tak berapa nak ada, akhirnya selepas dua hari baru saya membalasnya. Senggang waktu maghrib isya’ saya menghantarkan jawapan dengan sms kepada salah seorang daripadanya. Tidak berespon, agaknya pelajar ini faham dengan jawapan itu dan tidak ada yang perlu diperpanjangkan.
Khamis, 10.30a.m. saya menerima respon ucapan terima kasih daripada jawapan maghrib semalam. Semacam ada yang tidak kena. Pelajar ini membawa handphone ke sekolah? Suatu pelanggaran tatasusila disiplin. Atau mungkin sahaja dia tak datang hari ini? Ya, ternyata benar.
“Ana tak datang ke sekolah hari ustaz. Sekarang ada kat hospital sakit…” ujarnya. “Syafakillah…” saya sekadar mendoakan agar cepat sembuh. Rupanya dia terkena sakit perut yang teramat. Katanya mungkin terkena sakit appendix, batu karang, atau…macam-macam lagi yang pelbagai dihurainya. Sakit yang saya sendiri tidak ketahuan.
Jumaat, 04.30a.m. “Alhamdullillah ana tak jadi dibedah…doakan ana supaya tak jadi dibedah…” saya pada ketika membaca sms itu berada separa sedar. Keawang-awangan masih diulit letih kerna kerja semalam. Diawal pagi menerima sms daripada pelajar meminta agar didoakan, tak pernah ada pelajar menghantar sms seawal itu. Biasanya sms pada waktu sebegini dikirimkan daripada teman rapat, mengejutkan untuk qiam agar tak terlajak kesiangan.
Jumaat malam, asalnya jadual sudah terisi dengan kelas bahasa arab. Akan tetapi kelas dibatalkan, juga kebetulan seorang teman sepersekolahan meminta diambil di terminal lrt. Saya terfikir untuk berziarah pelajar ini, alang-alang mengambil sahabat terus sahaja ke hospital. Kewajipan seorang muslim memenuhi hak saudaranya.
Terasa kasihan juga si kecil ini, terlantar di hospital. Melalui sms yang dikirimnya, ada perasaan takut yang menyelubungi. Setidak-tidaknya ziarah ini sebagai sokongan, menghibur hati, dan mendoakan kesejahteraan baginya supaya lebih tabah.
“Ada keluarga yang menemani Nti di sana? Ana dan seorang sahabat hendak berziarah. Boleh?” saya mengajukan. Adab berziarah juga perlu dipatuhi dengan lunas syara’. Setidaknya ada keluarga yang mendampingi sebagai mahram, juga ia lebih sopan.
“Boleh, dialukan..” jawabnya ringkas.
Dengan kami berdua berpakaian kerja, langsung sahaja ke Hospital Tawakkal sesudah singgah solat maghrib di surau tepi jalan. Kenapalah Tawakkal menjadi nama hospital ini? Tiba-tiba kami terfikir. Ada nilaian agama yang cuba disemat pastinya. Baik juga kalau hospital di negara ini menggunakan nama-nama positif seperti ini, Tarahhum, Tafakkur, ‘Afiah, Rahmah, Tahajjud, dan semisal dengannya. Kalau nak boleh juga gunakan zikr al-maut. Tetapi, tentu tak ada yang nak masuk agaknya.
Ternyata mungkin Allah mempunyai hikmah yang Maha Mengetahui, si kecil ini terkena sakit appendix dan dibedah.
Kasihan, insaf melihat orang yang ditarik seketika nikmat sehat. Ternyata nikmat sehat adalah antara nikmat kurnia Allah yang sering manusia terlupa dan kurang waspada. Makanya, ucapkanlah syukur selagi berdaya atas nikmat tuhan yang tidak terhitung sebelum Allah s.w.t menguji.
Apa yang perlu kita tahu mengenai sakit?
1. Menziarahi orang sakit hukumnya wajib sekiranya kita tidak mempunyai halangan, kerana ia adalah hak sesama muslim. Nabi s.a.w bersabda: “Hak seorang muslim keatas muslim ada lima perkara; menjawab salam, menziarahi orang sakit, menghantarkan jenazah, memenuhi jemputan, dan mengucapakan yarhamka Allah kepada yang bersin” –riwayat imam Bukhari
2. Musibah berupa kesakitan yang dialami tubuh merupakan salah satu bentuk ujian Allah kepada kita, sekurang-kurangnya penghapus kepada dosa-dosa kecil.
3. Selain membawa buah tangan, sunnah untuk kita mendoakan orang yang yang ditimpa musibah dengan doa: “لا بأس طهور إن شآء الله” – riwayat imam Bukhari
4. Ketika menerima musibah, Allah menunjukkan kepada kita fitrah manusia yang berharap kepada-Nya. Tetapi disebabkan kesombongan, manusia kadang-kala berpaling semula kepada kemaksiatan firman Allah: “Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, niscaya hilang semua yang (biasa) kamu seru, kecuali Dia. Tetapi ketika Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari-Nya). Dan manusia memang selalu ingkar (tidak bersyukur). [al-Isra’: 67]
Wallahu ‘alam.
4 comments:
salam... ana suka cadangan ustaz berkenaan nama hospital ZIKRUL MAUT... idea yang baik... tu saja, wassalam.
syukran :)
Tapi rasanya tak ada yang akan menamakan hospital dengan "Zikrul Maut", itu gelaran khas untuk kubur...
agaknya "anonymous" ni yang terkena appendix ni...
Post a Comment