Mungkin begitu juga lah dengan blog ini... kot
Sudah hampir setahun menjejak kaki semula kealam persekolahan. Sesekali teringat kembali zaman saya berada disuasana itu. Zaman yang penuh dengan harapan dan dokongan cita-cita. Begitu menggunung. Cumanya kali ini statusnya saya sebagai pendidik. Lebih mencabar melayan karenah birokrasi pentadbiran dan hiruk-pikuk gelagat pelajar.
Ingin saya kongsikan beberapa pemerhatian saya selama berada disini. Membabitkan jema’ah pelajar yang bermasalah disiplin dan adab. Pada pengamatan saya, kebanyakan mereka ini adalah dari kelompok pelajar yang hidup keluargnya mewah tetapi terpinggir, kurang dihirau keluarga. Lebih mudah kalau disimpulkan sebagai “pelajar yang punyai masalah keluarga”.
Secara ringkas saya amati, mereka ini terlalu didodoi dan disogok dengan pelbagai kesenangan material sehinggakan berasa selesa untuk tidak mengambil pusing hal-ehwal pelajaran. Agaknya bagi menebus rasa bersalah ibuayah yang sibuk itu, si anak dilayan sebegitu rupa.
Juga sudah semestinya sibuk itu menjadi alas bagi ibubapa jenis ini untuk tidak mengajarkan anak mereka perihal adab dan susila. Malahan, ada yang ibu atau ayahnya cikgu, bahkan ustaz ustazah, tetapi anaknya seperti langsung tidak mengetahui makna adab dan akhlak. Hanya mengharap agar anaknya ditarbiah melalui tinta guru dan buih mulut mereka.
Sebaliknya, kebanyakan pelajar cemerlang shaksiahnya pasti cemerlang keluarganya. Peranan ibubapa dan persekitaran begitu kuat dirasakan pengaruhnya terhadap diri pelajar. Dulu, saya juga sekadar menelah bahan bacaan yang memperkatakan isu ini. Tak sangka, realitinya benar-benar terasa kini.
0 comments:
Post a Comment