Sunday, January 24, 2010

Syariat Islam Memberi Jati Diri Kepada Manusia

SEMUA manusia di dunia pastinya menginginkan kebaikan senantiasa berlaku pada dirinya dan pada dunia yang didiaminya. Akan tetapi, seringkali hakikat kebaikan itu disalah ertikan dan dibataskan kepada kebaikan dunia semata-mata. Tambahan pula, hawa nafsu yang tersemat seringkali memesong dan mengheret manusia jauh daripada kebaikan sebenar. Maka, dapat kita saksikan pada hari ini bagaimana manusia terlalu berpusu-pusu mengejar kebendaan dan menjadi makhluk materialistik. Malah individu-individu seperti ini akhirnya membentuk keadaan dunia menjadi celaru.

Justeru, Allah s.w.t Yang Maha Pengasih menurunkan syariat melalui Nabi-Nya untuk membimbing dan memperbaiki urusan manusia. Para Rasul diutus BUKAN untuk membuktikan kewujudan tuhan, kerana keinginan bertuhan adalah fitrah semulajadi manusia. Mereka diutus bersama syariat untuk memperbetulkan salah faham manusia terhadap-Nya (aqidah) dan salah faham terhadap perjalanan dunia ini. Menjadikan suasana dunia sejahtera dan terkawal juga adalah antara misi syariat Islamiah. Hanya hamba Allah yang sombong dan menurut hawa nafsu sahaja akan terbeban untuk melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Allah s.w.t berfirman: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [al-Furqan: 33-34]

Berbeza pula halnya dengan manusia yang mengambil syariah, sebagai panduan hidup. Mereka ini sebenarnya faham bahawa syariah bertujuan MELURUSKAN hawa nafsu dan MENYEDARKAN diri mereka bahawa hakikat kehidupan ini tidak terbatas di dunia sahaja. Ada kematian yang pasti mendatangi. Pastinya, syariat juga menyucikan diri manusia daripada kejahatan syirik, hawa nafsu, dan menepis godaan syaitan. Oleh yang demikian, sudah pasti ia juga secara langsung memberikan keutuhan jati diri kepada pengamal syariat TUHAN.

Nabi s.a.w bersabda: “Ada seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besi sehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi itu semua tidak mengubah pendiriannya” [riwayat al-Bukhari, no: 3416 & 6544]

Begitulah kisah umat terdahulu yang begitu utuh terhadap godaan dunia dan sanggup mempertahankan agama dengan nyawa mereka. Ini dikernakan syariat Allah s.w.t telah tersemat membentuk jiwa dan keyakinan mereka bahawa setiap perbuatan akan ada balasannya daripada Allah. Mereka ini menjual kenikmatan dunia demi menuju kebaikan kekal di akhirat nanti.

Allah s.w.t berfirman : Sesungguhnya Allah Telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar” [al-Taubah: 111]

AYUH, para pemuda! Kita bentuk jati diri kita melalui asas syariat Islamiah. Jangan kita berasa malu untuk mengamalkan akhlak Islam, supaya jati diri kita sebagai Muslim bersinar. Maka, diantara perkara yang boleh dan mudah sekali untuk kita amalkan di sekolah adalah menyebarkan SALAM serta MENGHORMATI hak sesama Muslim.


Nabi s.a.w bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan sekali-kali beriman sehingga kamu mencintai antara satu sama lain, apakah kamu nak aku tunjukkan suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan mencintai satu sama lain? (Maka) Sebarkanlah salam sesama kamu” [riwayat Muslim, no: 54].


*artikel ini ditulis untuk Panitia PSI Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak, dengan beberapa suntingan

0 comments: